Isnin, 2 Oktober 2017

HARI KELUARGA STARULe 2017

Hari Keluarga atau Family Day STARULe anjuran Kelab Guru dan Kakitangan (KGKT) telah diadakan pada 29 hingga 30 September yang lalu bertempat di Teluk Batik Resort, Teluk Batik, Perak. Program yang berlangsung selama dua hari ini melibatkan semua guru dan staf STARULe, walaupun terdapat beberapa orang kakitangan tidak dapat menghadirkan diri atas sebab-sebab tertentu. Beberapa orang guru dan staf turut membawa ahli keluarga masing-masing yang terdiri daripada ibu, adik, suami, isteri dan anak-anak.


Selepas mendaftar diri kira-kira jam 4.00 petang, semua peserta melakukan aktiviti bebas seperti melawat ke zoo mini dan mandi di pantai Teluk Batik. Pada sebelah malamnya pula, para peserta menjamu selera dengan BBQ yang disediakan oleh pihak resort diselang-seli dengan cabutan bertuah. 






Keesokan harinya, acara sukaneka mengisi slot di tepi pantai iaitu kira-kira jam 9.00 pagi. Beberapa acara dan permainan diadakan seperti Kecek Bola Pecah Belon, Tarik Bola Cari Gula-gula, Bola Tampar Lelaki Perempuan dan Kutip Gula-gula (acara anak-anak). Acara ini berakhir kira-kira jam 11.00 pagi.






Pada jam 12.30 tengah hari acara penyampaian hadiah kepada para peserta diadakan, diikuti oleh ucapan penutup daripada wakil penganjur serta jamuan makan tengah hari. Setelah itu, semua guru dan staf bertolak pulang ke destinasi masing-masing. 





Walaupun ini merupakan kali pertama STARULe mengadakan sambutan Hari Keluarga tetapi kemeriahan dan keseronokannya jelas terasa. Di samping dapat merapatkan silaturahim sesama kakitangan STARULe, penganjuran kali ini turut mendekatkan ahli-ahli keluarga dengan keluarga besar STARULe. Diharapkan ukhuwah yang terbina akan diredai dan berkekalan selamanya. Amin.



Tiada ulasan:

"BERANI BERKORBAN DAN BERUBAH, KEJAYAAN ADALAH GANJARANNYA"