Ahad, 31 Disember 2017

MAKLUMAN PENGAMBILAN SLIP PENTAKSIRAN TINGKATAN 3 (PT3)





Salam,

Perhatian kepada semua ibu bapa / penjaga para pelajar tingkatan 3 2017, berikut merupakan makluman pengambilan slip Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3):

Tarikh     : 14 Disember 2017
Hari        : Khamis
Masa       : 9.00 pagi - 1.00 petang
Tempat   : Kelas Tingkatan 3
Pakaian  : Pakaian rasmi sekolah dan berambut kemas

Pelajar yang tidak berpakaian lengkap tidak akan diberi keputusan PT3. Segala kerjasama yang bakal diberikan, didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian. 

YURAN PERSEKOLAHAN 2018




Salam,

Perhatian kepada ibu bapa / penjaga, berikut merupakan senarai yuran persekolahan STARULe bagi pelajar tingkatan 1 hingga 5 sesi 2018/2019:


-Yuran persekolahan juga boleh dibayar secara bank-in melalui nombor akaun di bawah. Mohon serahkan slip bank-in semasa pendaftaran sebagai bukti pembayaran yuran.
(Maybank 558136008333 - Sek. Men. Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong)


-BAGI PELAJAR BAHARU SAHAJA:

   1) Yuran PIBG - boleh dibayar tunai atau secara bank-in melalui nombor akaun di bawah. Mohon serahkan slip bank-in semasa pendaftaran sebagai bukti pembayaran yuran.
(Maybank 158136755798 - Sek. Men. Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong)

   2) Program Renang (Tingkatan 1 sahaja) = RM 225.00 

Isnin, 20 November 2017

MAJLIS RINGKAS PENYAMPAIAN INTENSIF KHAS TAMAT HAFAZAN 30 JUZUK

Pada hari Rabu, 15 November, satu majlis ringkas bagi menyampaikan intensif khas tamat hafazan 30 juzuk kepada Muhamad Amir Izzat bin Hasnan telah diadakan ketika perhimpunan pagi.Intensif ini telah diberikan oleh Yayasan Perak kepada para pelajar yang berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk pada Festival Huffaz Negeri Perak 2017. Antara semua calon SMAN Perak, hanya calon STARULe, SERATA dan SMTDR Kerian sahaja yang berjaya menerima anugerah ini.


Tahniah diucapkan kepada Muhamad Amir Izzat bin Hasnan! Semoga penganugerahan ini menjadi pendorong kepada semua pelajar STARULe untuk berjaya seperti beliau, bukan sahaja mengejar kecemerlangan di dunia tetapi juga di akhirat, Insya-Allah.


Khamis, 2 November 2017

MAJLIS PERPISAHAN USTAZ MUHAMMAD FARIHAN

Majlis ringkas sempena perpindahan Ustaz Muhammad Farihan ke SMKA Kerian telah diadakan pada hari Selasa, 31 Oktober yang lalu. Majlis ini dilangsungkan kira-kira jam 11.30 pagi dan disertai oleh semua guru dan pelajar STARULe.

Majlis dimulakan dengan ucapan ringkas daripada Pengerusi Kelab Guru dan Kakitangan (KGKT), Ustaz Muhammad Hafiz dan diikuti oleh ucapan daripada PK Pentadbiran, Cik Norsufiah, menggantikan pengetua yang tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan lain. Setelah itu, yang diraikan, Ustaz Farihan pula menyampaikan ucapan serta amanat terakhir kepada rakan-rakan seperjuangan serta anak-anak didik beliau. Kumpulan Huffaz Voice turut mempersembahkan beberapa buah lagu. 



Sedikit cenderahati juga diberikan sebagai kenang-kenangan kepada beliau daripada pihak KGKT dan sekolah. Selepas itu, jamuan makan tengah hari disediakan untuk semua guru dan kakitangan. 


Diharapkan Ustaz Muhammad Farihan dapat meneruskan perkhidmatan yang cemerlang di sekolah baharu dan tidak melupakan STARULe yang pernah menjadi tempat beliau mencurah bakti. Sekian. 

Selasa, 24 Oktober 2017

HARI SUKAN NEGARA DAN MAJLIS ANUGERAH KOKURIKULUM STARULe

Sempena Hari Sukan Negara pada 14 Oktober, STARULe telah mengadakan Program Berjalan Ribuan Langkah dari sekolah ke Gua Tok Giring dan kembali ke sekolah pada 13 Oktober yang lalu. Program ini telah disertai oleh semua pelajar dan hampir kesemua guru dan kakitangan sekolah. Semua peserta berkumpul seawal jam 7.20 pagi di sekolah dan program bermula kira-kira jam 7.45 pagi. Perjalanan dari sekolah ke Gua Tok Giring mengambil masa lebih kurang 1 jam pergi dan pulang.




Apabila tiba di Gua Tok Giring, semua guru dan pelajar melakukan senaman akrobatik yang diketuai oleh saudara Aminul Hafiz. Setelah itu, saudara Muhammad Danish Zikry menyampaikan tazkirah ringkas berkaitan kesihatan. Kemudian semua guru dan pelajar bergerak pulang ke sekolah.




Seterusnya, kira-kira jam 10.00 pagi, Majlis Anugerah Kokurikulum dimulakan di Dewan Mini STARULe. Majlis ini diadakan bagi merai para pelajar dan guru-guru yang terlibat dalam kokurikulum sepanjang tahun 2017. Anugerah yang diberikan termasuklah Anugerah Pelajar Harapan, Anugerah Emas, Anugerah Perak, Anugerah Gangsa, Anugerah Khas Guru, Tokoh Pelajar, Tokoh Guru dan Anugerah Kelab / Persatuan / Permainan Terbaik. Kumpulan nasyid Huffaz Voice turut mengadakan persembahan pada majlis kali ini.



Setelah tamat majlis anugerah tersebut, semua guru dan pelajar menjamu selera di kantin sebelum para pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing selama seminggu sempena cuti Hari Deepavali. Sekian.

Rabu, 11 Oktober 2017

MAJLIS BACAAN YASIN DAN SOLAT HAJAT

Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat untuk para pelajar SPM, PT3, Idadi, Thanawi dan peperiksaan akhir tahun (PAT) telah diadakan pada 7 Oktober 2017 yang lalu bertempat di Masjid Jamek Lenggong, Perak. Majlis yang bermula kira-kira jam 9.30 pagi itu dihadiri oleh guru-guru, para pelajar dan ibu bapa.


Majlis dimulakan dengan solat hajat yang diketuai oleh Ustaz Solehuddin. Setelah itu, majlis diteruskan dengan bacaan Yasin yang dipimpin oleh Ustaz Husaini iaitu bapa kepada salah seorang pelajar STARULe.





Apabila selesai bacaan Yasin, Ustaz Atif yang bertindak sebagai pengerusi majlis pada hari tersebut menjemput Ustaz Faiz selaku pengetua STARULe bagi menyampaikan sepatah dua kata, dan seterusnya ucapan daripada YDP PIBG, Cikgu Hasnan.


Selepas itu, semua pelajar, guru dan ibu bapa mengadakan sesi mahabbah beramai-ramai. Di samping memohon restu dan meminta maaf, sesi ini juga untuk mengeratkan lagi ukhuwah sesama mereka. Seterusnya, para pelajar tingkatan 5 berserta ibu bapa masing-masing bergerak ke koridor masjid untuk sesi penyerahan slip peperiksaan percubaan (PP) yang lepas.



Sebelum pulang, para pelajar, ibu bapa dan guru-guru menjamu selera dengan sedikit juadah yang disediakan oleh pihak sekolah. Diharapkan semua pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan dapat melakukan yang terbaik untuk diri mereka, ibu bapa dan sekolah. Insya-Allah...

Isnin, 2 Oktober 2017

HARI KELUARGA STARULe 2017

Hari Keluarga atau Family Day STARULe anjuran Kelab Guru dan Kakitangan (KGKT) telah diadakan pada 29 hingga 30 September yang lalu bertempat di Teluk Batik Resort, Teluk Batik, Perak. Program yang berlangsung selama dua hari ini melibatkan semua guru dan staf STARULe, walaupun terdapat beberapa orang kakitangan tidak dapat menghadirkan diri atas sebab-sebab tertentu. Beberapa orang guru dan staf turut membawa ahli keluarga masing-masing yang terdiri daripada ibu, adik, suami, isteri dan anak-anak.


Selepas mendaftar diri kira-kira jam 4.00 petang, semua peserta melakukan aktiviti bebas seperti melawat ke zoo mini dan mandi di pantai Teluk Batik. Pada sebelah malamnya pula, para peserta menjamu selera dengan BBQ yang disediakan oleh pihak resort diselang-seli dengan cabutan bertuah. 






Keesokan harinya, acara sukaneka mengisi slot di tepi pantai iaitu kira-kira jam 9.00 pagi. Beberapa acara dan permainan diadakan seperti Kecek Bola Pecah Belon, Tarik Bola Cari Gula-gula, Bola Tampar Lelaki Perempuan dan Kutip Gula-gula (acara anak-anak). Acara ini berakhir kira-kira jam 11.00 pagi.






Pada jam 12.30 tengah hari acara penyampaian hadiah kepada para peserta diadakan, diikuti oleh ucapan penutup daripada wakil penganjur serta jamuan makan tengah hari. Setelah itu, semua guru dan staf bertolak pulang ke destinasi masing-masing. 





Walaupun ini merupakan kali pertama STARULe mengadakan sambutan Hari Keluarga tetapi kemeriahan dan keseronokannya jelas terasa. Di samping dapat merapatkan silaturahim sesama kakitangan STARULe, penganjuran kali ini turut mendekatkan ahli-ahli keluarga dengan keluarga besar STARULe. Diharapkan ukhuwah yang terbina akan diredai dan berkekalan selamanya. Amin.



"BERANI BERKORBAN DAN BERUBAH, KEJAYAAN ADALAH GANJARANNYA"